fb fb fb fb fb

AS buka semula pejabat kedutaan di Cuba, 5 tahun selepas 'serangan sonik'

(Suasana Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Havana pada 3 Mac 2022/AFP)

HAVANA, 3 MAC- Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Cuba yang ditutup sejak 2017, akan dibuka semula; menawarkan perkhidmatan pengeluaran visa.

Pihak konsulat, “akan menyambung semula beberapa perkhidmatan visa secara terhad, sebagai usaha menyambung semula fungsi kedutaan secara berperingkat," kata Timothy Zuniga-Brown, pegawai misi diplomatik AS di Havana.

AS mengurangkan fungsi pejabat kedutaan ke tahap paling minimum pada September 2017, apabila Presiden AS, Donald Trump ketika itu menyalahkan Havana kerana mencetuskan ‘serangan sonik’ terhadap kakitangan kedutan pada 2016 dan 2017.

Serangan misteri itu menyebabkan beberapa petugas dan ahli keluarga mengalami kecederaan otak dan hilang pendengaran.

Kejadian hampir sama turut berlaku di beberapa kedutaan lain di seluruh dunia.

Penutupaan pejabat kedutaan itu memberi kesan besar kepada penduduk Cuba yang ingin berhijrah ke AS kerana perlu melakukan urusan di pejabat berdekatan seperti di Colombia atau Guyana untuk mengemukakan permohonan.

(Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Havana ketika mula ditutup pada 2017/AFP)

Jelas Zuniga-Brown, pihak kedutaan hanya akan berurusan dengan individu yang telah melengkapkan permohonan, namun dalam tempoh semasa masih perlu ke Guyana.

Tambahnya, pihak kedutaan juga akan menyediakan perkhidmatan penting kepada warga AS dan visa kecemasan kepada individu bukan pelarian.

Menurut perjanjian imigresen sedia ada, AS perlu memperakui kira-kira 20,000 visa setahun kepada rakyat Cuba.

Ia berikutan Cuba berdepan krisis ekonomi terburuk dalam tempoh 30 tahun akibat pandemik COVID-19 dan kebanyakan rakyatnya memang berharap untuk berhijrah ke AS.

Sebagai jalan pintas, ada penduduk memilih keluar dari Cuba melalui laluan berbahaya di Amerika Tengah dan perlu berdepan risiko eksploitasi penyeludupan manusia. -AFP

Media Baharu