fb fb fb fb fb

Umat Islam di Indonesia sambut Aidilfitri pada Isnin

Orang ramai tiba di Surabaya untuk menaiki bas percuma yang disediakan kerajaan menuju ke kampung halaman menjelang Aidilfitri/AFP

JAKARTA, 29 Mac- Umat Islam di Indonesia akan menyambut Aidilfitri pada Isnin, kata Menteri Agama Nasaruddin Umar pada Sabtu malam.

Dalam satu sidang media di kementerian, beliau mengumumkan tarikh 1 Syawal 1446 Hijrah bersamaan 31 Mac, 2025.

Pengumuman itu dibuat setelah selesainya persidangan Isbat (persidangan penentuan tarikh Syawal), yang melibatkan antaranya pegawai kementerian, Majlis Ulama Indonesia, ahli falak, anggota Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, serta wakil-wakil dari kedutaan di Indonesia.

Turut hadir Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Mohd Shamsuri Ghazali.

"Pada malam ini untuk seluruh wilayah Indonesia masih melakukan solat tarawih. Kita berharap hasil daripada sidang ini seluruh umat Islam di Indonesia dapat merayakan Aidilfitri dengan sukacita," katanya.

Umat Islam di republik itu telah mula berpuasa sejak 1 Mac.

Indonesia adalah negara dengan majoriti Muslim terbesar di dunia, dengan 87 peratus daripada lebih 282 juta penduduk beragama Islam. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA