BANGKOK, 30 Mac- Pemerintah tentera Myanmar membenarkan ratusan anggota penyelamat asing masuk ke negara itu pada Sabtu selepas gempa bumi mengorbankan lebih 1,600 individu.
Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter pada Jumaat itu antara yang terbesar menggegarkan negara Asia Tenggara sekali gus melumpuhkan perkhidmatan lapangan terbang, jambatan dan lebuh raya.
Kejadian berkenaan turut mengakibatkan jutaan penduduk negara itu kehilangan tempat tinggal.
Menurut kerajaan tentera menerusi perkhidmatan berita BBC Burma, jumlah kematian di Myanmar meningkat kepada 1,644.
Sementara itu di Thailand, bangunan yang dalam pembinaan di ibu negara berkenaan runtuh akibat gegaran tersebut dan mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan individu terbunuh.
Operasi menyelamat diteruskan di lokasi pembinaan bangunan 33 tingkat itu susulan laporan bahawa 47 individu masih hilang atau terperangkap di bawah runtuhan - termasuk pekerja dari Myanmar.
Manakala mangsa yang terselamat di Mandalay masih meneruskan usaha menyelamat mereka yang masih terperangkap namun Myanmar kekurangan jentera berat dan tiada pihak berkuasa.
Sementara itu ramalan Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat (AS) menganggarkan angka kematian Myanmar boleh melebihi 10,000 dan kerugian boleh melebihi keluaran ekonomi tahunan negara itu.
Sehari selepas kejadian Ketua Junta Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing meminta bantuan antarabangsa dan ke Mandalay (pusat gempa) yang meruntuhkan bangunan dan mencetuskan kebakaran di beberapa kawasan.
"Pengerusi Majlis Pentadbiran Negeri mengarahkan pihak berkuasa untuk menyegerakan usaha mencari dan menyelamat dan menangani sebarang keperluan mendesak," menurut Min Aung Hlaing dalam satu kenyataan menerusi media kerajaan.- Reuters