fb fb fb fb fb

Hamas setuju cadangan gencatan senjata Gaza

Khalil Al-Hayya/ Reuters

KAHERAH, 30 Mac- Hamas bersetuju dengan cadangan gencatan senjata Gaza yang diterima dua hari lalu daripada pengantara Mesir dan Qatar, kata ketua kumpulan pejuang Palestin pada Sabtu.

"Dua hari lalu, kami menerima cadangan daripada pengantara di Mesir dan Qatar. Kami menerima secara positif mengenainya," kata Ahli biro politik Hamas Khalil al-Hayya menerusi ucapan di televisyen.

"Kami berharap bahawa pendudukan (Israel) tidak akan mencetuskan lebih banyak serangan," kata Hayya, yang mengetuai pasukan perunding Hamas dalam rundingan tidak langsung yang bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata dalam perang Hamas-Israel di Gaza yang meletus pada Oktober 2023.

Sumber keselamatan memaklumkan pada Khamis bahawa Mesir telah menerima tanda positif dari Israel berhubung cadangan gencatan senjata baharu yang akan merangkumi fasa peralihan.

Menurut sumber, Hamas dicadangkan untuk membebaskan lima tebusan Israel yang ditahannya setiap minggu.

Fasa pertama gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari selepas 15 bulan perang dan melibatkan penghentian pertempuran, pembebasan beberapa tebusan Palestin dan Israel.

Fasa dua daripada perjanjian tiga fasa itu bertujuan untuk memberi tumpuan kepada perjanjian pembebasan baki tebusan dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.

Hamas berkata sebarang cadangan mesti membenarkan pelancaran fasa kedua, manakala Israel telah menawarkan untuk memperluaskan fasa 42 hari pertama.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI