KYIV, 3 Mei-Parlimen Ukraine, Verkhovna Rada, akan mengadakan undian pada 8 Mei untuk meratifikasi perjanjian sumber asli yang ditandatangani bersama Amerika Syarikat awal minggu ini.
Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat mengumumkan pada Rabu mengenai perjanjian antara kedua-dua negara untuk menubuhkan Dana Pelaburan Pembinaan Semula AS-Ukraine (Reconstruction Investment Fund) yang akan memberikan Amerika Syarikat akses utama kepada beberapa sumber asli Ukraine.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Pertama dan Menteri Ekonomi Ukraine, Yulia Svyrydenko, dana tersebut dijangka mula beroperasi dalam tempoh sebulan hingga satu setengah bulan selepas perjanjian itu diluluskan oleh parlimen Ukraine.
Bercakap kepada media Ukraine, Svyrydenko menyatakan harapannya agar dana tersebut dapat dilancarkan lebih awal, dan menekankan bahawa ia seharusnya menjadi medium pemulihan dan pembangunan sektor utama ekonomi Ukraine.
Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal, berkata bahawa dokumen teknikal susulan bagi dana tersebut tidak akan berbentuk antara kerajaan, tetapi akan ditandatangani di peringkat institusi.
Beliau menjelaskan bahawa perjanjian susulan itu akan bersifat pelaksanaan antara agensi yang ditetapkan Ukraine dan U.S. International Development Finance Corporation (DFC), dan oleh itu tidak memerlukan ratifikasi parlimen.
Walaupun tiada jaminan keselamatan secara rasmi dalam perjanjian tersebut, setiap bantuan ketenteraan baharu yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine akan dianggap sebagai sumbangan modal.
Ini akan menggalakkan pentadbiran AS untuk terus membekalkan senjata dan risikan kepada Ukraine, kata Shmyhal yang turut menggesa parlimen agar meratifikasi perjanjian tersebut secepat mungkin.-REUTERS.