PHNOM PENH, 27 Oktober – Kemboja dan Thailand mula mengalihkan senjata berat dan peralatan ketenteraan dari kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.
Proses pengunduran itu dijalankan di bawah pemerhatian Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) selepas deklarasi bersama perjanjian damai antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul yang disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam ucapannya, Hun Manet menegaskan komitmen Kemboja untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian tersebut, serta bekerjasama rapat dengan Thailand dan rakan antarabangsa bagi memastikan keamanan berkekalan bagi memberi manfaat kepada rakyat di kedua-dua negara. Beliau turut menyeru sokongan berterusan komuniti antarabangsa bagi memastikan kejayaan pelaksanaan deklarasi tersebut.
Sementara itu, Presiden Trump memuji usaha kedua-dua pemimpin dan menyifatkannya sebagai “perjanjian damai yang hebat”.
Manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyambut baik pencapaian itu yang dianggap sebagai tonggak penting ke arah keamanan serantau dan mencerminkan komitmen ASEAN terhadap pencegahan konflik, kestabilan, dan kerjasama berterusan komuniti ASEAN.