fb fb fb fb fb

Iran tetap pendirian walau terus ditekan sekatan AS

Iran menegaskan tidak akan tunduk kepada tekanan sekatan Amerika Syarikat

TEHRAN, 2 Mei – Iran menegaskan sekatan berterusan oleh Amerika Syarikat tidak akan mengubah pendiriannya, susulan amaran Presiden Donald Trump terhadap mana-mana pihak yang berurusan dengan minyak negara itu.

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan menyifatkan tindakan Amerika itu sebagai tidak sah dan menolak tekanan ke atas rakan dagangnya.

“Tingkah laku tidak sah ini tidak akan mengubah pendirian Iran yang berasaskan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Trump sebelum ini menggesa semua pembelian minyak dan petrokimia Iran dihentikan serta-merta.

Beliau juga memberi amaran bahawa pihak yang melanggarnya akan dikenakan Sekatan Sekunder.

Kenyataan itu dibuat selepas rundingan nuklear Tehran-Washington yang dijadualkan Sabtu ini ditangguhkan atas alasan logistik, menurut Oman selaku pengantara.

Ketua perunding Iran, Abbas Araghchi berkata, Tehran kekal komited mencari penyelesaian melalui rundingan dan menuntut jaminan penghapusan sekatan dalam sebarang perjanjian.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN