BANGKOK, 2 Mei – Kementerian Kesihatan Thailand menyeru orang ramai agar bertenang susulan kematian pertama akibat jangkitan antraks dalam tempoh lebih 30 tahun, dengan satu lagi kes jangkitan turut disahkan.
Mangsa pertama, lelaki berusia 53 tahun dari wilayah Mukdahan yang terletak bersempadan dengan Laos, dilaporkan meninggal dunia selepas mengendalikan bangkai lembu tanpa perlindungan.
Mangsa kedua, juga berumur 53 tahun dan mempunyai sejarah kontak dengan lembu, kini dirawat di hospital selepas diuji positif.
Antraks berpunca daripada bakteria yang hidup dalam tanah dan lazimnya menjangkiti haiwan ternakan serta hidupan liar.
Jangkitan pada manusia boleh membawa maut, dengan simptom seperti luka kulit, lepuh, dan pembengkakan nodus limfa.
Jurucakap Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Weerawat Manosuthi memaklumkan mangsa yang meninggal dunia itu mempunyai masalah kesihatan sedia ada dan hanya mendapatkan rawatan selepas dua hari menunjukkan simptom.
Ini merupakan kematian antraks pertama di Thailand sejak 1994 yang menyaksikan tiga kematian.
Kali terakhir kes jangkitan dilaporkan adalah pada 2017, melibatkan dua kes tanpa kematian, manakala pada tahun 2000, 15 individu dijangkiti.-AFP