fb fb fb fb fb

AS buat pusingan U, mahu sertai Sidang Kemuncak G20

Afrika Selatan menganjurkan Sidang Kemuncak G20 minggu ini / Foto AFP

JOHANNESBURG, 21 November - Amerika Syarikat (AS) pada saat-saat akhir telah memaklumkan kepada Afrika Selatan bahawa ia mahu mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg.

“Kami telah menerima notis daripada Amerika Syarikat, satu notis yang masih dalam perbincangan bersama mereka, mengenai perubahan fikiran (AS) untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak tersebut,” kata Presiden Cyril Ramaphosa dalam sidang media.

“Perkara ini berlaku pada saat-saat akhir sebelum sidang kemuncak bermula. Oleh itu, kami perlu mengadakan perbincangan bagi melihat sejauh mana ia praktikal dan apa sebenarnya maksudnya,” katanya lagi.

Pentadbiran Presiden Donald Trump sebelum ini mengumumkan tidak akan mengambil bahagian dalam mesyuarat pada 22 hingga 23 November itu dan menyatakan bahawa tiada kenyataan akhir oleh pemimpin G20 boleh dikeluarkan tanpa kehadiran AS.

Washington berselisih dengan Afrika Selatan mengenai pelbagai dasar antarabangsa dan domestik sepanjang tahun ini, memanjangkan bantahannya terhadap keutamaan Pretoria bagi mesyuarat G20 yang diadakan buat julung kali di Afrika.

Dalam satu nota kepada kerajaan Pretoria pada Sabtu lepas, kedutaan AS mengulangi bahawa ia tidak akan menghadiri sidang kemuncak itu, dengan menyatakan bahawa keutamaan G20 Afrika Selatan “bertentangan dengan pandangan dasar AS dan kami tidak boleh menyokong konsensus terhadap mana-mana dokumen yang dirundingkan bawah kepresidenan anda”.

Sebagai respons, Ramaphosa awal Khamis menegaskan bahawa Afrika Selatan tidak akan dibuli.

“Tidak boleh berlaku bahawa lokasi geografi, pendapatan atau kekuatan ketenteraan sesebuah negara menentukan siapa yang mempunyai suara dan siapa yang dipandang rendah,” kata Ramaphosa kepada para delegasi pada acara pembuka tirai G20.

“Tidak seharusnya ada pembulian antara satu negara dengan negara lain,” katanya.

Afrika Selatan memilih tema “Solidariti, Kesaksamaan, Kemampanan” untuk mesyuarat G20, yang merangkumi 19 negara serta dua badan serantau, Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika.

Agendanya memberi tumpuan kepada memperkukuh ketahanan bencana, meningkatkan kemampanan hutang bagi negara berpendapatan rendah, membiayai “peralihan tenaga yang adil” dan memanfaatkan “mineral kritikal bagi pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan”.

EMMI NORALIZA ADNAN