fb fb fb fb fb

23,000 kematian akibat COVID-19 boleh dielakkan jika England laksana perintah berkurung lebih awal

Perintah berkurung dilaksanakan di United Kingdom pada tahun 2020 / Foto AFP

LONDON, 21 November - Kira-kira 23,000 kematian boleh dielakkan di England jika perintah berkurung COVID-19 pertama dilaksanakan lebih awal pada permulaan pandemik.

Laporan kedua daripada inkuiri awam mengenai respons United Kingdom, (UK) terhadap pandemik COVID-19 mengkritik kerajaan pada 2020 yang dipimpin Boris Johnson kerana “kurang mendesak” pada peringkat awal pandemik dengan menyatakan pelaksanaan perintah berkurung adalah “terlalu sedikit dan terlalu lewat”.

"Pemodelan menunjukkan bahawa jika perintah berkurung pertama dilaksanakan lebih awal, ia boleh mengelakkan 23,000 kematian di England sahaja dalam gelombang pertama," menurut laporan setebal 800 muka surat itu.

“Jika perintah berkurung dilaksanakan seminggu lebih awal dari tarikh 23 Mac, bukti menunjukkan bahawa jumlah kematian di England sahaja dalam gelombang pertama hingga 1 Julai 2020 akan berkurangan sebanyak 48%,” kata pengerusi siasatan, Heather Hallett.

"Kadar tindak balas sepatutnya dipertingkatkan. Tetapi ia tidak berlaku. Februari 2020 adalah bulan yang sia-sia,” tambah Hallett, yang juga seorang bekas hakim kanan.

Pengerusi siasatan itu turut berkata, bahawa jika sekatan diperkenalkan lebih awal, perintah berkurung mandatori boleh menjadi lebih singkat, atau “mungkin tidak perlu sama sekali”.

Bagaimanapun, laporan itu yang kedua dalam siri siasatan bebas tersebut, menolak dakwaan bahawa kerajaan silap melaksanakan perintah berkurung pada Mac 2020.

“Tanpanya, peningkatan penularan akan membawa kepada kehilangan nyawa yang tidak boleh diterima,” menurut laporan itu.

UK merekodkan salah satu kadar kematian COVID-19 terburuk di Eropah dengan lebih 128,500 kematian dicatatkan menjelang pertengahan Julai 2021.

Manakala, lebih 226,000 orang maut di Britain sejak permulaan pandemik global pada awal 2020.

Johnson, yang menjadi Perdana Menteri dari 2019 hingga 2022, telah dikritik atas pelbagai aspek dalam respons pandemik, termasuk kurangnya kesiapsiagaan dan kegagalan menyediakan peralatan perlindungan yang mencukupi untuk petugas barisan hadapan.

Laporan itu juga mengkritik “kurangnya kepercayaan” antara Johnson dan pemimpin Wales, Scotland, dan Ireland Utara, yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan awam tersendiri.

Laporan siasatan pertama yang diterbitkan pada Julai 2024 mendapati menteri dan pegawai UK amat tidak bersedia menghadapi pandemik global. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN