WASHINGTON, 21 November - Presiden Donald Trump mengecam penggubal undang-undang Demokrat yang menggesa anggota tentera Amerika Syarikat agar menolak apa-apa arahan yang menyalahi undang-undang, dengan menuduh mereka sebagai pengkhianat, penghasut dan sepatutnya berdepan hukuman mati.
Trump memuat naik semula sebuah artikel mengenai video yang dikeluarkan pada Selasa oleh enam penggubal undang-undang Demokrat yang pernah berkhidmat dalam tentera atau risikan.
“TINGKAH LAKU MENDERHAKA, boleh dihukum MATI!” tegas presiden Republikan itu dalam satu hantaran di Truth Social.
“Ini benar-benar teruk, dan berbahaya untuk negara kita,” tulis Trump dalam satu hantaran sebelumnya. “Kata-kata mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. TINGKAH LAKU MENDERHAKA DARIPADA PENGKHIANAT!!! KURUNG MEREKA???”
Trump turut memuat naik mesej daripada seorang pengguna yang mendesak beliau agar "menggantung mereka" dan mengatakan bahawa Presiden pertama AS,
George Washington pasti akan melakukan perkara yang sama.
Penggubal undang-undang Demokrat itu termasuk Senator Elissa Slotkin, bekas penganalisis CIA dan veteran perang Iraq; serta Mark Kelly, bekas angkasawan dan veteran Tentera Laut, bersama-sama dengan Ahli Kongres Jason Crow, Maggie Goodlander, Chris Deluzio dan Chrissy Houlahan.
Keenam-enam mereka menuduh pentadbiran Trump “menghasut anggota tentera dan komuniti risikan profesional terhadap warga Amerika sendiri.”
“Pada masa ini, ancaman terhadap perlembagaan kita bukan sahaja datang dari luar negara, tetapi juga dari dalam negara sendiri,” kata mereka, sambil menambah, “Anda boleh menolak arahan yang menyalahi undang-undang.”