KHAN YUNIS, 21 November - Serangan terbaharu rejim Israel ke atas Gaza meragut lima lagi nyawa ketika perantara gencatan senjata, Qatar memberi amaran bahawa serangan itu boleh menjejaskan gencatan senjata rapuh yang telah berlangsung selama beberapa minggu antara Israel dengan Hamas.
Serangan baharu itu berlaku pada pagi selepas salah satu hari paling berdarah di Gaza sejak gencatan senjata bermula pada 10 Oktober lalu.
Serta, selepas Israel melancarkan beberapa siri serangan yang menyasarkan Hezbollah di Lubnan walaupun terdapat gencatan senjata yang berlanjutan hampir setahun.
Qatar, mengecam serangan udara terbaharu itu sebagai “satu peningkatan bahaya yang mengancam untuk menjejaskan perjanjian gencatan senjata”.
Jurucakap Agensi Pertahana Awam Gaza, Mahmud Bassal memaklumkan, lima maut dan beberapa yang lain cedera pada Khamis dalam serangan dan tembakan artileri di timur Khan Yunis.
Hospital Nasser di Khan Yunis turut mengesahkan tiga daripada mereka yang terbunuh adalah daripada satu keluarga, termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun.
"Israel telah melancarkan serangan berulang kali terhadap lokasi yang didakwa kononnya kubu Hamas sepanjang gencatan senjata, mengakibatkan kematian lebih 312 penduduk Palestin, " menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Pada Rabu, serangan Zionis mengorbankan 14 orang di Gaza City dan 13 di Khan Yunis, menurut Agensi Pertahanan awam.
Hamas menggesa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang membantu merundingkan gencatan senjata dan perantara antarabangsa lain supaya memberi tekanan ke atas Israel untuk menghentikan serangannya.
“Pelanggaran ini memerlukan tindakan serius dan berkesan daripada para perantara untuk menekan (Israel) supaya menghentikan pelanggaran ini dan mematuhi perjanjian gencatan senjata,” kata jurucakap kumpulan pejuang Palestin itu, Hazem Qassem kepada AFP di Gaza City.
Sehingga kini, serangan ganas Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 69,546 orang. - AFP