SANTIAGO, 21 November - Kenaikan tarif Amerika Syarikat sedang mencetuskan peningkatan ketidakpastian pasaran di seluruh Amerika Latin dan Caribbean, dengan kesan penuhnya dijangka dirasai pada tahun depan.
Amaran itu dikeluarkan dalam laporan 'International Trade Outlook for Latin America and the Caribbean 2025' yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Ekonomi PBB untuk Amerika Latin dan Caribbean (ECLAC).
Laporan itu menyebut, walaupun rantau itu kini berdepan kadar tarif efektif purata kira-kira 10% selepas kenaikan tarif AS pada Februari 2025 di mana meskipun masih bawah purata global sebanyak 17%, kesan penuh perubahan dasar itu kemungkinan besar akan ketara pada tahun 2026.
"2026 akan menjadi tahun pertama dengan 12 bulan penuh bawah tarif baharu dan ketika itulah kita akan benar-benar merasai kesannya. Impaknya tidak akan terhad kepada Amerika Latin. "
"Pasaran domestik AS juga akan menghadapi kejutan yang lebih besar, terutama dalam sektor runcit, di mana pengguna mungkin mengalami inflasi. Syarikat multinasional AS yang bergantung pada bekalan dari Amerika Latin juga akan menanggung tekanan kos,” kata setiausaha eksekutif ECLAC, José Manuel Salazar-Xirinachs.
Laporan itu turut memberi amaran bahawa perubahan dasar perdagangan AS sedang menjejaskan aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau tersebut, khususnya dalam industri eksport yang berorientasikan pasaran AS.
Pada separuh pertama tahun 2025, pengumuman projek FDI di rantau itu susut kepada $31.37 bilion Dolar, penurunan sebanyak 53% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024, dan 37% bawah purata tahun 2015 hingga 2024.
ECLAC menggesa negara-negara di rantau tersebut untuk mengukuhkan kerjasama dengan rangkaian rakan dagang yang lebih luas termasuk China.
Laporan itu turut mengesyorkan agar negara-negara mengelakkan langkah yang boleh meningkatkan ketidakpastian di tengah-tengah landskap perdagangan global yang sudah pun dibelenggu oleh gangguan besar dan ketegangan geopolitik. -REUTERS