NEW YORK, 2 Mei - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa agar konflik yang berlarutan di Sudan dihentikan segera susulan keadaan kemanusiaan yang semakin memburuk.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, berkata laporan terkini dari Sudan, khususnya di utara Darfur, amat membimbangkan.
Menurut kenyataan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR), sekurang-kurangnya 542 orang awam terkorban dalam tempoh tiga minggu lalu.
Pesuruhjaya Volker Turk turut memberi amaran bahawa serangan terbaru oleh pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) ke atas El Fasher dan kem Abu Shouk mengorbankan sekurang-kurangnya 40 nyawa.
Turk juga meluahkan kebimbangan mengenai laporan eksekusi tanpa perbicaraan di Khartoum dan mengingatkan bahawa tindakan membunuh orang awam adalah jenayah perang.
Sejak konflik bermula pada April 2023, lebih 20,000 orang telah terbunuh dan 14 juta orang terpaksa berpindah akibat pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan RSF.-REUTERS