fb fb fb fb fb

Lebih 200 terbunuh dalam 243 serangan tentera Myanmar sejak gempa - PBB

Foto-AFP

YANGON, 2 Mei – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk serangan berterusan tentera Myanmar walaupun gencatan senjata diumumkan susulan gempa bumi dahsyat yang meragut hampir 3,800 nyawa.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, lebih 200 orang awam dilaporkan terbunuh dalam sekurang-kurangnya 243 serangan tentera, termasuk 171 serangan udara sejak 28 Mac hingga 29 April.

“Sebahagian besar serangan ini berlaku selepas gencatan senjata diumumkan pada 2 April,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menyifatkan keganasan itu menambah penderitaan rakyat yang sudah lama terhimpit akibat konflik dan kini berdepan kesan bencana.

Gencatan senjata tersebut, yang turut disokong pihak pembangkang junta, bagaimanapun tidak dipatuhi dan dibiarkan tamat pada 30 April.

Turk menegaskan agar tentera junta segera menghentikan semua serangan ke atas orang awam dan kemudahan awam.

Beliau turut mengingatkan bahawa hampir 20 juta penduduk Myanmar kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan dan menuntut laluan bantuan dibuka tanpa halangan.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN