BOGOTA, 21 November - Pihak berkuasa Colombia pada Khamis memperlihatkan objek pertama yang ditemukan daripada sebuah kapal Sepanyol yang sarat dengan harta karun dan karam di perairan, 300 tahun lalu.
Ia melibatkan tiga syiling emas dan gangsa, sebuah meriam, dan sebuah cawan porselin.
Objek-objek ini adalah yang pertama dibawa ke permukaan, 10 tahun selepas kapal San Jose ditemukan karam di Laut Caribbean.
San Jose dimiliki oleh kerabat diraja Sepanyol ketika ia karam berhampiran Cartagena pada Jun 1708. Hanya sebilangan kecil daripada kru seramai 600 orang yang terselamat.
Dokumen Britain menyatakan bahawa kapal itu mengalami “letupan dalaman,” manakala laporan Sepanyol mendakwa ia dibedil dalam pertempuran.
Ketika itu, kapal berkenaan sedang dalam perjalanan pulang dari Panama ke istana Raja Philip V di Sepanyol, sarat dengan peti-peti berisi zamrud dan kira-kira 200 tan syiling emas.
Sebelum Colombia mengumumkan penemuannya pada 2015, kapal itu telah lama diburu oleh para pengembara.
Sepanyol menuntut kapal dan kandungannya bawah satu konvensyen PBB yang tidak dianggotai Colombia, manakala orang Asli Qhara Qhara dari Bolivia mendakwa kekayaan itu telah dicuri daripada mereka.
Colombia menegaskan bahawa mereka ingin mengkaji kapal karam itu untuk tujuan saintifik dan budaya. Harta karun yang terkandung di dalamnya dianggarkan bernilai berbilion dolar.
Antara artifak yang telah dikesan oleh kamera dasar laut setakat ini termasuk sauh dan kargo seperti kendi dan botol kaca, meriam besi tuang, barang porselin, tembikar, dan objek yang dipercayai diperbuat daripada emas.
"Penyiasat juga telah mengambil sampel sedimen yang terkumpul di kapal itu selama bertahun-tahun, yang akan dianalisis untuk “memahami dengan lebih baik punca kapal karam,” kata pengarah Institut Antropologi dan Sejarah Colombia (ICANH), Alhena Caicedo.
Karam itu juga dituntut oleh syarikat penyelamatan berpangkalan di AS, Sea Search Armada yang menegaskan ia menemukan kapal itu lebih 40 tahun lalu dan telah membawa Colombia ke Mahkamah Tetap Timbang Tara, menuntut pampasan sebanyak $10 bilion Dolar.