fb fb fb fb fb

Gempa 7.4 magnitud cetus ancaman tsunami di selatan Chile

Orang ramai berpindah dari kawasan pesisir pantai di Chile susulan nasihat pencegahan tsunami yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, selepas gempa bumi mencetuskan ancaman tsunami di pantai Pasifik / Foto REUTERS

PUNTA ARENAS, 3 Mei-Sebuah sekolah telah dipindahkan di sini ketika pihak berkuasa Chile pada Jumaat mengekalkan status berjaga-jaga di kawasan selatan negara itu susulan ancaman tsunami selepas berlakunya gempa bumi.

Namun perintah pemindahan hanya terhad kepada kawasan berhampiran pantai.

Perkhidmatan Pencegahan Bencana Negara (SENAPRED) mengeluarkan amaran tersebut selepas satu gempa bumi bermagnitud 7.4 melanda kawasan Perairan Drake di luar pesisir Chile, yang terletak di antara Tanjung Horn dan Antartika, pada kedalaman hanya 10 km, menurut laporan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

SENAPRED memaklumkan bahawa tiada kerosakan pada infrastruktur kritikal atau kehilangan nyawa dilaporkan, namun mereka tetap mengarahkan pemindahan di sepanjang pantai selatan disebabkan risiko tsunami.

Dalam satu sidang media,Menteri Dalam Negeri Alvaro Elizalde berkata bahawa amaran pemindahan bagi rantau tersebut telah diturunkan tahapnya, namun menasihatkan orang ramai agar menjauhi pantai dan kawasan pesisir.

Institut Antartika Chile memaklumkan kepada Reuters bahawa pangkalan-pangkalan di Antartika sedang dipindahkan.

Sebelum perintah itu diturunkan, pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa kira-kira 2,000 orang telah dipindahkan.

Rakaman video menunjukkan murid sekolah dan penduduk Punta Arenas berkumpul dan berpindah ke kawasan lebih tinggi.

Beberapa gempa susulan berskala kecil turut dirasai selepas gempa utama.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD