fb fb fb fb fb

Ukraine tukar menteri pertahanan

(Kyrylo Budanov/Reuters)

KYIV, 6 Februari- Menteri pertahanan Ukraine akan digantikan dengan ketua perisikan tentera susulan skandal rasuah berkaitan kontrak makanan, di tengah-tengah krisis peperangan Ukraine-Rusia.

Ahli parlimen kanan, David Arahamia berkata, Kyrylo Budanov, 37, akan mengetuai kementerian itu, manakala Oleksii Reznikov, 56, akan dilantik sebagai menteri bagi industri strategik.

"Perang menentukan dasar kakitangan. Masa dan keadaan memerlukan pengukuhan dan pengumpulan semula.

"Musuh sedang bersedia untuk mara. Kami sedang bersiap untuk mempertahankan diri," tambah Arahamia.

Reznikov dilantik sebagai menteri pertahanan pada November 2021 dan telah banyak membantu mengamankan persenjataan Barat untuk memperkuat pasukan Ukraine, namun kementeriannya telah dilanda skandal rasuah.

Timbalan Reznikov meletak jawatan pada akhir Januari selepas kementerian itu dituduh menandatangani kontrak makanan pada harga dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi daripada kadar semasa untuk bahan makanan asas.

Pada Ahad, Reznikov tidak menyatakan akan mempertahankan jawatannya, namun memberitahu kepada pemberita bahawa hanya Presiden Volodymyr Zelensky sahaja dapat memutuskan nasibnya itu.

"Tekanan yang saya alami tahun ini sukar untuk diukur dengan tepat. Saya tidak malu dengan apa pun.

"Hati nurani saya sangat jelas," kata Reznikov. -AFP

(Kyrylo Budanov/Oleksii Reznikov/AFP)

 

Media Baharu