fb fb fb fb fb

Ukraine tekad teruskan eksport bijirin

(Presiden Volodymyr Zelensky/File AFP)

KIEV, 18 Julai- Ukraine bersedia meneruskan eksport bijirin, kata Presiden Volodymyr Zelensky selepas Rusia mengumumkan ia akan keluar daripada perjanjian membuka sekatan penghantaran daripada pengeluar utama itu.

Perjanjian itu, yang membolehkan eksport lebih 32 juta tan bijirin Ukraine sepanjang tahun lepas, dijadualkan tamat pada hari Isnin.

“Walaupun tanpa Persekutuan Rusia, segala-galanya mesti dilakukan supaya kita boleh menggunakan koridor Laut Hitam ini,” kata Zelensky dalam komen yang diedarkan di media sosial oleh jurucakapnya, Sergiy Nykyforov.

"Kami tidak takut. Kami telah didekati oleh syarikat yang memiliki kapal. Mereka berkata bahawa mereka sudah bersedia untuk meneruskan penghantaran," tambahnya.

Zelensky berkata: "Ukraine, Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Turki boleh bersama-sama memastikan operasi koridor makanan dan pemeriksaan kapal diteruskan.

"Saya telah menghantar surat rasmi kepada Presiden Turki (Recep Tayyip) Erdogan dan Setiausaha Agung PBB (Antonio) Guterres dengan cadangan untuk meneruskan Inisiatif Bijirin Laut Hitam dalam format tiga pihak."

Presiden Rusia, Vladimir Putin telah berulang kali mengancam untuk menarik diri daripada perjanjian itu, dengan alasan bahawa perjanjian yang membenarkan eksport makanan dan baja Rusia tidak dihormati.

Rusia juga menuduh negara kaya mendapat keuntungan daripada sebahagian besar eksport Ukraine. -AFP


(Perjanjian itu telah membolehkan eksport dalam kargo lebih daripada 32 juta tan bijirin
Ukraine 
sepanjang tahun lepas/AFP)

 

 

Media Baharu