fb fb fb fb fb

Ukraine perlu senjata jarak jauh demi perlindungan, Kiev terus dibedil Rusia

Foto Reuters

KIEV, 21 Julai- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy pada Ahad memaklumkan bahawa negaranya memerlukan senjata jarak jauh untuk melindungi bandar dan tenteranya daripada serangan bom dan dron Rusia.

Zelenskiy menegaskan ia menjadi keperluan utama negara demi keselamatan yang ampuh selepas serangan dron dan peluru berpandu semalaman secara besar-besaran.

"Rusia melancarkan serangan dron kelimanya ke atas Kiev dalam masa dua minggu semalaman, dengan sistem pertahanan udara Ukraine memusnahkan semua senjata udara sebelum mereka sampai ke ibu negara," kata tentera Ukraine.

Tentera udara Ukraine berkata di Telegram bahawa sistem pertahanan udaranya memusnahkan 35 daripada 39 dron dan dua peluru berpandu jelajah yang dilancarkan Rusia semalaman.

Senjata Rusia itu menyasarkan 10 wilayah Ukraine.

"Tidak jelas berapa banyak dron yang dilancarkan di Kiev dan tiada kemalangan jiwa dan tiada kerosakan besar dilaporkan," jelas Serhiy Popko, ketua pentadbiran tentera ibu negara Ukraine di Telegram.

"Pada malam tadi sahaja, tentera Rusia menggunakan hampir 40 'Shahed' menentang Ukraine. Yang penting, kebanyakan mereka ditembak jatuh oleh pertahanan udara kami," kata Zelenskiy di Telegram, merujuk kepada dron.

Beliau berkata adalah perlu untuk memusnahkan pengebom Rusia di pangkalan udara Rusia untuk melindungi Ukraine daripada serangan udara.

"Keupayaan jarak jauh kami yang mencukupi harus menjadi tindak balas yang adil terhadap keganasan Rusia. Setiap orang yang menyokong kami dalam hal ini, menyokong pertahanan menentang keganasan," tambah Zelenskiy.

Jumaat lalu, Zelenskiy memperbaharui gesaannya agar sekutu Barat membenarkan serangan jarak jauh ke atas Rusia, ketika berada di London, tempoh hari.

Tegas Zelenskiy, Britain harus cuba meyakinkan rakan kongsinya untuk menghapuskan had penggunaan mereka.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM