DHAKA, 21 Julai- Mahkamah Agung Bangladesh pada Ahad membatalkan sebahagian besar kuota kerja kerajaan yang telah mencetuskan protes yang diketuai pelajar.
Situasi tegang itu dilapor telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 114 orang di negara Asia Selatan itu, lapor media tempatan.
Menurut laporan, bahagian rayuan mahkamah menolak perintah mahkamah rendah yang telah mengembalikan kuota, mengarahkan bahawa 93 peratus pekerjaan dalam kerajaan akan dibuka kepada calon secara merit, tanpa kuota.
Kerajaan Perdana Menteri, Sheikh Hasina telah membatalkan sistem kuota pada 2018, tetapi mahkamah rendah mengembalikannya pada bulan lalu sekali gus menimbulkan bantahan awam dan tindakan keras kerajaan berikutnya.
Tidak jelas bagaimana penunjuk perasaan akan bertindak balas terhadap keputusan itu.
Kerajaan telah melanjutkan perintah berkurung ketika pihak berkuasa bersiap sedia untuk pendengaran Mahkamah Agung mengenai kuota pekerjaan.
Tentera giat melakukan rondaan di jalan-jalan di ibu kota Dhaka, lokasi pusat demonstrasi yang menjadi medan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
Perkhidmatan Internet dan sistem pesanan ringkas (SMS) di Bangladesh telah digantung sejak Khamis, memutuskan jaringan dalam negara apabila polis mula bertindak keras terhadap penunjuk perasaan yang mengingkari larangan perhimpunan awam.
"Perintah berkurung dilanjutkan hingga pukul 3.00 petang waktu tempatan dan akan diteruskan untuk "masa yang tidak menentu" berikutan rehat dua jam untuk orang ramai mengumpulkan bekalan," lapor media tempatan.
Reuters bagaimanapun tidak dapat segera menentukan apa yang akan berlaku kepada perintah berkurung selepas keputusan itu.- REUTERS