fb fb fb fb fb

UK pertimbang kenaikan gaji kepada penjawat awam, tangani inflasi

Foto Reuters

LONDON, 21 Julai- Menteri kewangan Britain yang baharu, Rachel Reeves berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberi kenaikan gaji kepada hampir dua juta kakitangan kerajaan pada akhir bulan ini.

Usaha itu dilaksana sebagai inisiatif kerajaan berdepan inflasi selain mengelak berlakunya mogok sektor awam yang boleh melumpuhkan pentadbiran kerajaan.

Dua badan semakan gaji yang menasihati kerajaan telah mengesyorkan kenaikan gaji sebanyak 5.5 peratus untuk 460,000 guru dan 1.4 juta kakitangan dalam Perkhidmatan Kesihatan Negara yang dikendalikan kerajaan, menurut laporan media.

Ditanya sama ada kerajaan akan meluluskan kenaikan gaji itu, Reeves berkata beliau menghargai jasa pekerja perkhidmatan awam namun menegaskan bahawa langkah itu bakal memberi kesan terhadap pelan jangka panjang.

Selain itu, wujud cabaran membabitkan kesatuan sekerja yang sebelum ini menjejaskan usaha kerajaan lepas, untuk meningkatkan perkhidmatan awam.

"Saya sangat menghargai pekerja perkhidmatan awam, di sekolah, di hospital, pegawai polis kami juga. Terdapat kesan untuk tidak menyelesaikan, kos terhadap tindakan industri selanjutnya dan kos daripada segi cabaran yang kita hadapi, merekrut," kata Reeves kepada BBC.

Parti Buruh memenangi majoriti besar pada pilihan raya umum awal bulan ini menjanjikan satu dekad "pembaharuan nasional" selepas 14 tahun kerajaan pimpinan Konservatif.

Menjelang pilihan raya, Buruh menolak kenaikan kadar cukai pendapatan, cukai perbadanan dan cukai nilai tambah, meninggalkan sedikit ruang untuk meningkatkan perbelanjaan.

Menurut Institut Kajian Fiskal, anggaran kos kenaikan gaji sebanyak 5.5% untuk guru dan kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Negara tertentu boleh menjadi kira-kira 3 bilion pound (AS$3.88 bilion).

Inflasi di Britain pada ketika ini adalah sekitar 2 peratus.

Reeves, menteri kewangan wanita pertama Britain, berkata kerajaan akan "memastikan jumlah itu bertambah", jika pekerja sektor awam diberi kenaikan gaji melebihi inflasi.

"Jika kerajaan mahu meluluskan kenaikan gaji, ia perlu menaikkan cukai, meningkatkan pinjaman atau mengurangkan perbelanjaan kerajaan di kawasan lain," kata IFS.

Reeves berkata dia akan menetapkan rancangannya untuk tawaran gaji sektor awam dan mengumumkan tarikh belanjawan seterusnya sebelum akhir bulan ini.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM