fb fb fb fb fb

Ukraine lancar aplikasi jejak kanak-kanak perang yang hilang

KIEV, 7 April - Ukraine melancarkan aplikasi mudah alih untuk membantu mencari kanak-kanak yang hilang sejak lebih 13 bulan selepas pencerobohan berskala besar Rusia.

Menurut Polis Negara Ukraine, Kiev menganggarkan 19, 544 kanak-kanak telah dihantar ke Rusia ketika pencerobohan itu manakala hanya 328 daripada mereka pulang.

Moscow, yang mengawal bahagian timur dan selatan Ukraine, menafikan menculik kanak-kanak, sebaliknya menjelaskan mereka dibawa keluar demi keselamatan mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara, Oleksander Fatsevych, berkata Ukraine bekerjasama dengan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Find My Parent untuk membangunkan aplikasi dinamakan 'Reunite Ukraine'.

Aplikasi itu akan membantu menemukan semula keluarga yang terpisah sejak konflik Rusia dan Ukraine.

(Rusia terima 730,000 kanak-kanak dengan ibu bapa atau penjaga yang sah dari Wilayah Donbas, Ukraine/FOTO REUTERS)

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bulan lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin dan pesuruhjaya hak kanak-kanak Rusia, menuduh mereka menculik kanak-kanak dari Ukraine.

Moscow tidak menyembunyikan program di mana mereka membawa beribu-ribu kanak-kanak Ukraine ke Rusia dari kawasan yang diduduki, namun menyifatkannya sebagai kempen kemanusiaan bagi melindungi anak yatim dan kanak-kanak yang ditinggalkan di zon konflik.

Pesuruhjaya kanak-kanak itu, Maria Lvova-Belova berkata sejak Februari tahun lalu, Rusia menerima lebih lima juta pelarian dari wilayah Donbas, Ukraine.

Ia termasuk 730,000 kanak-kanak dengan ibu bapa atau penjaga yang sah.

Fatsevych berkata, aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma dan mudah dikendalikan, selain memiliki semakan keselamatan identiti berbagai tahap.

Beliau berkata, polis akan menyemak dan mengesahkan profil peribadi dan bertindak sebagai perantara untuk membolehkan komunikasi melalui aplikasi tersebut.

Katanya, aplikasi itu akan membolehkan polis mengumpul lebih banyak data dengan cara yang selamat dan dilindungi, termasuk daripada orang di Rusia, Belarus atau di wilayah yang ingin membantu kanak-kanak Ukraine. - REUTERS

Media Baharu