fb fb fb fb fb

Penerbangan di AS dijangka berkurang akibat kekurangan pengawal trafik udara

Sean Duffy/ REUTERS

WASHINGTON, 10 November - Penerbangan di Amerika Syarikat dijangka berkurangan menjelang cuti Thanksgiving susulan penutupan kerajaan persekutuan yang berlarutan dan kekurangan kakitangan kawalan trafik udara, menurut Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy.

Syarikat penerbangan utama di negara itu kini berdepan hari ketiga pengurangan penerbangan yang diarahkan kerajaan selepas ribuan kelewatan dan pembatalan perjalanan berlaku pada Sabtu, menjejaskan trafik udara di seluruh negara.

Penutupan kerajaan yang kini memasuki hari ke-40 — rekod terpanjang dalam sejarah — telah menyebabkan kekurangan pengawal trafik udara yang, seperti kakitangan persekutuan lain, tidak menerima gaji selama beberapa minggu.

"Apabila kita semakin menghampiri tempoh perjalanan sempena Thanksgiving... saya fikir apa yang akan berlaku ialah perjalanan udara akan perlahan," kata Duffy dalam rancangan Fox News Sunday.

Setiap tahun, jutaan rakyat Amerika melakukan perjalanan menjelang perayaan Thanksgiving, salah satu cuti penting negara itu yang disambut pada 27 November tahun ini.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) telah mengarahkan syarikat penerbangan mengurangkan empat peratus daripada jumlah penerbangan harian bermula Jumaat lalu di 40 lapangan terbang utama atas faktor keselamatan kawalan trafik udara.

Pengurangan itu dijangka meningkat kepada enam peratus pada Selasa dan mencapai 10 peratus menjelang 14 November.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI