MADRID, 10 November - Tiga individu maut manakala 15 lagi cedera selepas laut bergelora melanda pulau percutian Sepanyol, Tenerife pada Sabtu, menurut perkhidmatan kecemasan.
Sebuah helikopter penyelamat dilaporkan membawa seorang lelaki yang terjatuh ke laut di pantai La Guancha, utara pulau berkenaan, namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital, menurut kenyataan perkhidmatan kecemasan.
Dalam kejadian berasingan, seorang lagi lelaki ditemui terapung di pantai El Cabezo di selatan pulau itu. Pasukan penyelamat dan petugas perubatan gagal menghidupkannya semula, dan beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang wanita pula meninggal dunia akibat serangan jantung selepas ombak besar menghanyutkan 10 individu ke laut di Puerto de la Cruz, utara Tenerife. Tiga lagi daripada kumpulan itu cedera parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Kepulauan Canary, gugusan pulau milik Sepanyol di barat laut Afrika yang merangkumi Tenerife, kini berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan amaran bahaya di kawasan pesisir pantai, menurut agensi kecemasan wilayah itu pada Ahad.- REUTERS