fb fb fb fb fb

Ketua Pengarah BBC letak jawatan susulan kontroversi dokumentari Trump

Tim Davie/ REUTERS

UNITED KINGDOM, 10 November - Ketua Pengarah British Broadcasting Corporation (BBC), Tim Davie, mengumumkan peletakan jawatannya pada Ahad susulan pertikaian mengenai suntingan sebuah dokumentari tentang Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Davie dan Ketua Berita BBC, Deborah Turness, meletak jawatan selepas dokumentari program unggul Panorama didakwa menyunting ucapan Trump secara mengelirukan.

"Seperti semua organisasi awam, BBC tidak sempurna, dan kita mesti sentiasa bersikap terbuka, telus dan bertanggungjawab.

"Walaupun bukan satu-satunya sebab, perdebatan semasa mengenai BBC News secara munasabah menyumbang kepada keputusan saya… Saya perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya," kata Davie dalam kenyataan yang disiarkan di laman web BBC.

Peletakan jawatan Davie berlaku seminggu selepas The Sunday Telegraph mendedahkan memo dalaman yang membangkitkan kebimbangan mengenai dokumentari tersebut.

Menteri Kebudayaan, Media dan Sukan UK, Lisa Nandy, menyifatkan dakwaan itu sebagai "amat serius".- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI