fb fb fb fb fb

Ukraine gesa rakyatnya berlindung, Kiev diserang dron

FOTO REUTERS

KIEV, 10 September- Pihak berkuasa Ukraine pada Ahad menggesa orang ramai kekal berada di tempat perlindungan susulan serangan dron ke atas Kiev.

Ukraine dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara negaranya aktif mematahkan serangan dron haram, mengakibatkan hujan serpihan di beberapa kawasan.

Seorang wartawan AFP berkongsi maklumat, mendengar sekitar 10 letupan di Kiev.

"Sistem pertahanan udara berfungsi di wilayah Kiev dan di ibu negara. Lebih banyak UAV bergerak ke arah Kiev," tulis Datuk Bandar Vitali Klitschko di Telegram, merujuk kepada kenderaan udara tanpa pemandu atau dron.

Di daerah Podilskyi di tengah Kiev, doktor merawat seseorang yang mengalami "serangan tekanan akut" selepas serpihan jatuh di kawasan lapang, tambah Klitschko.

Serpihan juga jatuh di daerah Sviatoshynskyi dan Shevchenkivskyi, menurut Sergiy Popko, Ketua Pentadbiran Tentera Kiev City.

Pihak pertahanan Ukraine bagaimanapun tidak dapat memberi kepastian bahawa semua dron telah ditembak jatuh atau tidak.

"Maklumat mengenai mangsa dan kemusnahan yang berlaku sedang diusahakan. Semua perkhidmatan kecemasan digerakkan ke lokasi yang terjejas. Amaran udara diteruskan, tinggal di tempat perlindungan sehingga tamat amaran," tulisnya sebelum pukul 2.00 pagi waktu tempatan.

Di daerah Shevchenkivskyi, serpihan yang jatuh menyebabkan kebakaran di bangunan kediaman, tetapi ia telah dipadamkan oleh pemilik bangunan itu, tambah Popko.

Serpihan juga menyebabkan kebakaran di Taman Sovky yang terkenal di bandar itu.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu