fb fb fb fb fb

Ukraine gandakan import kuasa elektrik selepas serangan Rusia

Foto Reuters

KIEV, 9 Mei- Ukraine merancang untuk menggandakan import kuasa elektrik pada Khamis selepas serangan kuat Rusia ke atas sistem tenaga Ukraine.

Kementerian tenaga dalam aplikasi pemesejan Telegram berkata import dijangka meningkat kepada 16,699 megawatt jam (Mwh) berbanding 7,600 Mwj pada Rabu.

Import yang dirancang menghampiri rekod tertinggi 18,649 Mwh, yang dicatatkan pada akhir Mac selepas gelombang pertama serangan Rusia ke atas sektor tenaga Ukraine.

Syarikat tenaga kerajaan, Ukrhydroenergo berkata pada Khamis bahawa dua loji kuasa hidronya mengalami kerosakan yang teruk pada awal minggu ini dan tidak lagi beroperasi selepas pengeboman Rusia.

"Setakat hari ini, semua penjanaan hidro telah mengalami kerosakan yang dahsyat," katanya dalam satu kenyataan di aplikasi pemesejan Telegram, sambil menambah bahawa sumber kewangan dan usaha yang besar akan diperlukan untuk membaiki kerosakan dan memulihkan operasi loji.

Ukraine mengendalikan 10 loji kuasa hidro sebelum pencerobohan Rusia pada 2022, yang menghasilkan kira-kira 10% daripada semua tenaga elektrik Ukraine.

Pada 2023, tentera Rusia meletupkan loji kuasa hidro Kakhovska dan selepas serangan terbaru, hanya tujuh loji beroperasi pada kapasiti amat rendah.

Pegawai Ukraine berkata negara itu juga telah kehilangan kira-kira 80% daripada penjanaan kuasa habanya dan kini Ukraine terpaksa bergantung pada tiga loji kuasa nuklear, yang menghasilkan kira-kira 60% daripada tenaga elektriknya.

Penjanaan kuasa terma dan hidroelektrik diperlukan untuk memastikan tahap bekalan dan penggunaan seimbang, semasa waktu puncak penggunaan tenaga pada waktu pagi dan petang.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM