MUMBAI, 9 Mei- Anak syarikat penerbangan tambang murah, Air India membatalkan 74 penerbangan pada Khamis, sehari selepas operasinya terganggu akibat puluhan kru kabin dilapor sakit pada saat-saat akhir.
Syarikat penerbangan itu diambil alih oleh konglomerat India, Tata Group pada 2022 selepas usaha kerajaan untuk menswastakan syarikat penerbangan itu berikutan dihimpit isu kewangan.
Menurut laporan media, insiden cuti sakit beramai-ramai secara tiba-tiba itu bagaimanapun dikaitkan dengan rasa tidak puas hati kakitangan kerana dasar baharu yang diperkenal mengenai pengambilan dan kenaikan pangkat yang dikenakan oleh pemilik baharunya.
Air India Express dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah melakukan pelbagai alternatif dalam usaha meminimumkan kesulitan pelanggan, namun terpaksa akur untuk memilih membatalkan 74 penerbangan pada Khamis.
"Lebih 90 penerbangan lain turut terjejas sejak Selasa akibat kekurangan kakitangan," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berasingan pada Rabu, tanpa menjelaskan sama ada ia telah ditangguhkan atau dibatalkan.
Ketua eksekutifnya, Aloke Singh berkata bahawa syarikat penerbangan itu terpaksa menghadkan jadual penerbangannya dalam beberapa hari mendatang.
"Sejak petang tadi, lebih 100 kru kabin kami telah melaporkan mengalami masalah kesihatan pada saat-saat akhir, sebelum penerbangan mereka. Ini sangat mengganggu operasi kami."
"Perbuatan ini pastinya tidak mewakili 2,000 rakan kerja kru kabin yang lain, dalam menyahut panggilan tugas," kata Singh.
Laporan media juga menjelaskan bahawa syarikat penerbangan bajet itu telah memecat, sekurang-kurangnya 20 kakitangan.
"Kami mengambil langkah sewajarnya terhadap individu tertentu kerana tindakan mereka telah menyebabkan kesulitan besar kepada beribu-ribu penumpang kami," kata jurucakap Air India Express pada Khamis.
Lapangan terbang New Delhi menjadi huru-hara pada Rabu ketika penumpang gelisah menunggu maklumat terkini akibat penerbangan yang ditangguhkan dan dibatalkan, menurut laporan media India.- AFP