fb fb fb fb fb

Korea Selatan hadapi krisis kadar kelahiran terendah di dunia

Foto Hiasan/ AFP

SEOUL, 9 Mei- Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mahu mewujudkan kementerian baharu bagi menangani isu kadar kelahiran rendah di negara tersebut iaitu terendah di dunia sekali gus kini semakin menghampiri krisis demografi.

"Saya meminta kerjasama Parlimen untuk menyemak semula organisasi kerajaan bagi menubuhkan Kementerian Perancangan Mengatasi Kadar Kelahiran Rendah," katanya dalam ucapan secara langsung menerusi televisyen kepada seluruh negara hari ini.

Data rasmi menunjukkan kadar kelahiran di Korea Selatan jatuh ke paras terendah tahun lalu walaupun berbilion dolar sudah dibelanjakan dalam usaha menggalakkan wanita mempunyai lebih ramai anak dan mengekalkan kestabilan penduduk.

Negara itu mempunyai salah satu jangka hayat terpanjang di dunia namun kadar kelahiran terendah, gabungan yang melonjakkan cabaran demografi.

Mengikut data awal statistik pada Februari, kadar kesuburan di Korea Selatan, iaitu jangkaan bilangan kanak-kanak yang dilahirkan seorang wanita sepanjang hayatnya menurun kepada 0.72 pada tahun lalu, berkurangan hampir lapan peratus berbanding 2022.

Jumlah itu jauh daripada 2.1 kanak-kanak yang diperlukan untuk mengekalkan populasi semasa sebanyak 51 juta, yang mana pakar menganggarkan kadar itu akan menjadi hampir separuh menjelang 2100.

Kadar kelahiran di Korea Selatan itu adalah yang terendah dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) manakala purata usia untuk melahirkan anak ialah 33.6 tertinggi dalam OECD.

Ia berlaku walaupun kerajaan membelanjakan sejumlah besar untuk menggalakkan kelahiran lebih ramai bayi termasuk subsidi tunai, perkhidmatan penjagaan bayi dan sokongan untuk rawatan kemandulan.

Bagaimanapun, kadar kelahiran terus menurun secara kronik. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI