(Wartawan melaporkan dari lapangan pekerja forensik
membariskan mayat orang awam yang dikumpulkan dari kubur besar di Kiev, Ukraine pada 8 April lalu/FOTO AP)
KIEV, 17 April - Seramai 21 wartawan dilaporkan terkorban sejak operasi ketenteraan Rusia bermula pada 24 Februari lalu.
Pendedahan itu dilaporkan oleh Parlimen Ukraine pada Sabtu dalam laporan Jawatankuasa mengenai Kebebasan Bersuara, dan diterbitkan di laman sesawang parlimen.
Laporan itu turut mendedahkan nama-nama wartawan yang maut termasuk dari agensi media asing.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 1,982 orang awam terbunuh dan 2,651 lagi cedera sejak konflik peperangan itu bermula.
Malah, angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi dari yang dilaporkan.
(Brent Renaud, 50, pembuat dokumentari video untuk Time Studios maut ditembak di Irpin/FOTO Jeff Newton)
Ekoran peperangan dan konflik yang semakin tegang antara Ukraine dan Rusia, lebih 4.8 juta rakyat Ukraine telah melarikan diri ke negara jiran, dan lebih tujuh juta lagi hilang tempat tinggal.
Pada 13 Mac lalu, media melaporkan Brent Renaud, 50, wartawan antarabangsa pertama terbunuh di Ukraine sejak serangan Rusia ke atas Ukraine.
Renaud wartawan Amerika Syarikat (AS) maut ditembak dan meninggal serta merta akibat luka tembakan pada lehernya.
Manakala, 1 Mac lalu, seorang wartawan Ukraine maut ketika serangan peluru berpandu Russia yang menyasarkan menara televisyen Kiev, yang membunuh lima pejalan kaki.