fb fb fb fb fb

Ukraine bakal terima 16,000 sukarelawan asing susulan pencerobohan Kremlin

(FOTO AFP)

KIEV, 4 Mac- Ukraine bakal menerima seramai 16,000 sukarelawan asing yang akan mempertahankan kedaulatan negara berkenaan daripada pencerobohan Rusia.

Perkara itu diumumkan Presidennya, Volodymyr Zelenskyy dalam satu sidang video dan menyifatkan bantuan sukarelawan tersebut akan berjaya.

Menurutnya, beliau juga ragu dengan hasrat Moscow menghantar bantuan kemanusiaan ke Ukraine dan menggesa Moscow mempelajari perkataan "pampasan dan sumbangan".

"Kami akan membina semula setiap rumah, setiap jalan, setiap bandar. Dan kami berkata kepada Rusia 'belajar kata-kata pampasan dan sumbangan'. Anda akan membayar balik harga penuh untuk semua yang anda lakukan kepada kami, kepada negara kami dan kepada setiap orang Ukraine," kata Zelenskyy dalam sebuah sidang media.

Zelenskyy pada sidang media dalam bahasa Rusia itu turut menggesa tentera penceroboh pulang ke negara asal mereka.

Beliau menegaskan, tentera Rusia seharusnya melindungi masyarakat yang bertutur bahasa Rusia dalam negara itu bukannya di luar negara.

Dalam pada itu, operasi ketenteraan Rusia turut memaksa seramai satu juta orang penduduk melarikan diri dari Ukraine.


(FOTO Twitter Filippo Grandi)

Angka itu menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mungkin bertambah lebih banyak jika konflik tidak dihentikan dengan segera.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi dalam laman Twitternya memaklumkan dalam masa tujuh hari sahaja, berlaku penghijrahan satu juta pelarian dari Ukraine ke negara-negara jiran.

"Sudah tiba masa serangan dihentikan supaya bantuan kemanusiaan dapat diberikan kepada berjuta-juta lagi penduduk yang masih berada di negara itu."

"Hampir 40 tahun pembabitan saya dalam bidang kecemasan pelarian, agak jarang saya melihat penghijrahan besar-besaran seperti di Ukraine pada kali ini," kata Filippo Grandi menerusi kenyataannya di Twitter.

Lebih separuh daripada pelarian Ukraine memilih Poland sebagai destinasi utama mereka mendapat perlindungan selain Hungary, Moldova dan Slovakia.

Media Baharu