fb fb fb fb fb

UK, EU muktamadkan rancangan perjanjian pertahanan

Foto hiasan/ REUTERS

MOSCOW, 24 April- Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dijadual memuktamadkan rancangan untuk pakatan pertahanan UK-EU yang baharu serta perjanjian mengenai hak perikanan pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Januari lalu, Financial Times melaporkan bahawa rundingan antara London dan Brussels tergendala susulan isu akses Kesatuan Eropah (EU) kepada kawasan perairan perikanan UK.

Perbincangan itu dijangka berlaku di luar Sidang Kemuncak Future of Energy Security yang sedang berlangsung di London pada 24 dan 25 April, menurut Financial Times pada Khamis, memetik pegawai UK.

Penyelesaian itu akan membuka laluan kepada perundingan perjanjian ekonomi yang lebih luas.

Satu perjanjian pertahanan dan keselamatan dijangka diumumkan pada Sidang Kemuncak EU-UK yang akan datang pada 19 Mei.

Penyelesaian isu perikanan dilaporkan membolehkan kuota perikanan sedia ada untuk EU dikekalkan di perairan UK sekurang-kurangnya dua tahun.

Sebagai balasan, London bakal diberi akses kepada program pinjaman bernilai €150 bilion (AS$170.6 bilion) bagi pembelian senjata di bawah inisiatif Security Action for Europe oleh blok berkenaan.

Starmer, yang juga pemimpin Parti Buruh beberapa kali menyuarakan hasrat untuk menjalin hubungan baharu dengan EU.

Dalam manifesto pilihan raya, Parti Buruh mengumumkan rancangan untuk memeterai pakatan keselamatan dengan EU serta memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Perancis, Jerman dan rakan dalam Joint Expeditionary Force.

Selain itu, kerajaan baharu turut berhasrat membincangkan perdagangan pertanian dengan EU bagi mengurangkan pemeriksaan sempadan dan menangani isu harga makanan, di samping berusaha ke arah pengiktirafan bersama kelayakan profesional bagi membuka pasaran baharu kepada pengeksport perkhidmatan UK.- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

ROSLINA BINTI DIN