BEIJING, 24 April- China dan Amerika Syarikat (AS) tidak mengadakan sebarang rundingan atau perbincangan berhubung isu tarif, menurut Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun pada Khamis seperti dilaporkan Sputnik/RIA Novosti.
“Ini semua maklumat palsu. Setakat yang saya tahu, China dan Amerika Syarikat tidak pernah mengadakan rundingan atau perbincangan mengenai isu tarif, apatah lagi mencapai sebarang persetujuan,” kata Guo kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan pihak AS bahawa Beijing dan Washington sedang berunding untuk menyelesaikan perang dagang dan mungkin mencapai persetujuan.
Pada 2 April, Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengenakan tarif timbal balik ke atas import dari beberapa negara. Kadar asas tarif ditetapkan pada 10 peratus, dengan kadar lebih tinggi dikenakan ke atas 57 negara berdasarkan defisit perdagangan AS dengan setiap negara berkenaan.
Pada 9 April, Trump mengumumkan bahawa tarif asas sebanyak 10 peratus akan dikenakan selama 90 hari ke atas lebih 75 negara yang tidak bertindak balas serta telah meminta rundingan, kecuali China. Sepanjang perang dagang itu, tarif AS ke atas barangan China mencecah 145 peratus, manakala tarif China ke atas barangan AS pula mencecah 125 peratus.
Sementara itu, Gabenor Bank Rakyat China (PBOC), Pan Gongsheng berkata China akan terus berpegang teguh kepada peraturan perdagangan bebas dan menyokong sistem perdagangan pelbagai hala di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.
Menurut agensi berita China, Cailian, Pan berkata di Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat G20 di Washington bahawa peningkatan pengasingan ekonomi dan ketegangan perdagangan menjejaskan rantaian pengeluaran serta bekalan global, mencetuskan ketidaktentuan pasaran kewangan dan melemahkan momentum ekonomi global.
Beliau menegaskan dasar bersifat unilateral dan perlindungan dalam perang dagang serta tarif tidak memberi manfaat kepada mana-mana negara, sambil menggesa kerjasama antarabangsa diperkukuh. China, katanya, akan terus memajukan globalisasi ekonomi secara inklusif dan melindungi kestabilan ekonomi serta kewangan global.-BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI