KIEV, 24 April- Rusia melancarkan serangan besar-besaran ke atas ibu kota Ukraine, Kiev pada waktu malam, mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan lebih 70 orang dalam serangan paling dahsyat di bandar tersebut pada tahun ini.
Serangan itu turut mengakibatkan kebakaran serta enam kanak-kanak antara yang cedera.
Menurut pihak berkuasa kecemasan Ukraine, beberapa mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan.
“Terdapat kemusnahan. Usaha mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan sedang diteruskan,” tulis Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine menerusi aplikasi Telegram.
Dalam pada itu, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha, menyifatkan serangan itu sebagai serangan kejam. Beliau berkata ia menunjukkan bahawa Rusia adalah penghalang sebenar kepada perdamaian, bukannya Ukraine.
Sehingga kini, Rusia belum memberikan sebarang kenyataan mengenai serangan tersebut.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko, mengesahkan bahawa lapan orang telah disahkan terbunuh dalam serangan tersebut.
Kejadian paling serius di daerah Sviatoshynskyi di barat pusat bandar, menunjukkan pasukan penyelamat sedang membersihkan runtuhan bangunan kediaman yang musnah.
Gambar-gambar yang dimuat naik di Telegram menunjukkan pasukan penyelamat bertungkus-lumus melaksanakan operasi menyelamat. Polis turut dilihat mengetuk pintu pangsapuri untuk memastikan keselamatan penduduk.
Serangan ini berlaku ketika Kiev dan Moscow berdepan dengan tekanan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menunjukkan kemajuan ke arah perjanjian damai.-REUTERS