fb fb fb fb fb

25 orang lagi terkorban dalam serangan udara Israel di Gaza

Foto AFP

GAZA, 24 April- Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam beberapa serangan udara Israel di Gaza termasuk enam sekeluarga apabila rumah mereka dibedil di Gaza City, menurut pasukan penyelamat dan perubatan.

Serangan udara itu berlaku selepas Israel menyambung semula operasi ketenteraan pada 18 Mac lalu, susulan kegagalan gencatan senjata sebelum ini menghentikan sementara pertempuran di wilayah yang dikepung itu.

Menurut kenyataan Pasukan Pertahanan Awam Gaza, serangan di Gaza City telah memusnah sebuah rumah dan mengorbankan enam sekeluarga ketika mereka sedang tidur.

“Apa lagi yang boleh saya katakan? Kemusnahan ini tidak mengenal siapa,” kata Nidal al-Sarafiti, saudara mangsa, kepada AFP.

"Sembilan lagi mangsa terkorban dan ramai cedera dalam serangan di sebuah bekas balai polis di kawasan Jabalia, menurut hospital Indonesia yang merawat para mangsa.

Sementara itu, Tentera Israel menggunakan alasan serangan menyasarkan pusat kawalan dan arahan Hamas di kawasan tersebut, tanpa menyatakan sama ada lokasi itu ialah balai polis.

“Pusat kawalan itu dikatakan digunakan oleh pejuang Hamas untuk merancang dan melancarkan serangan terhadap orang awam Israel dan tentera IDF,” menurut kenyataan tentera Israel.

Manakala, di lokasi lain, lima orang maut apabila khemah tempat mereka berlindung dibedil. Di bandar Zuwaida, tiga orang terbunuh termasuk seorang kanak-kanak. Dua lagi maut dalam serangan ke atas sebuah rumah di Khan Yunis, selatan Gaza.

"Kami sedang duduk dengan tenang apabila peluru berpandu itu jatuh.. Saya tidak faham, apa yang berlaku," kata Mohammed Faris, yang menyaksikan serangan ke atas rumah itu.

Sejak operasi ketenteraan Israel disambung semula bulan lalu, sekurang-kurangnya 1,978 orang terbunuh di Gaza, menjadikan jumlah korban sejak perang bermula meningkat kepada sekurang-kurangnya 51,355 orang, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.-AFP

ROSLINA BINTI DIN