fb fb fb fb fb

Tarif AS: Vietnam dan AS mulakan rundingan perdagangan

Antara kedai di daerah Chinatown di wilayah Bac Ninh, Vietnam/ AFP

HANOI, 24 April- Vietnam dan Amerika Syarikat telah memulakan rundingan mengenai isu ekonomi dan perdagangan dua hala, susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan tarif tinggi ke atas barangan dari Vietnam.

Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam Nguyen Hong Dien menerusi kenyataan memaklumkan telah membuat panggilan telefon bersama Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.

Menerusi panggilan tersebut, Dien menyatakan kesediaan Vietnam untuk berunding dan menyelesaikan isu yang membimbangkan Amerika Syarikat, serta mencari penyelesaian munasabah yang saling menguntungkan, dalam semangat kepentingan seimbang dan risiko dikongsi bersama.

“Mesyuarat ini penting untuk membincangkan isu-isu prinsip, skop dan pelan hala tuju bagi rundingan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Greer pula menyatakan keyakinan bahawa kedua-dua pihak akan segera mencapai penyelesaian yang sesuai, sekali gus menggalakkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang stabil serta saling menguntungkan.

Trump sebelum ini memberi amaran tentang kemungkinan pengenaan tarif sebanyak 46 peratus ke atas produk Vietnam, mendakwa negara Asia Tenggara itu sebagai saluran bagi eksport China menembusi pasaran AS dan mengelak tarif sedia ada.

Amerika Syarikat merupakan pasaran eksport terbesar bagi Vietnam dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Kementerian Perdagangan Vietnam juga telah mengarahkan pihak berkuasa untuk memperketat kawalan ke atas barangan eksport, bagi mengelakkan tindakan sekatan atau hukuman perdagangan, menurut satu dokumen yang dilihat oleh AFP.

Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, menegaskan bahawa rundingan perdagangan tidak bertujuan untuk menjejaskan pasaran mana-mana negara lain.

Vietnam terus mengekalkan dasar “diplomasi", satu pendekatan yang bertujuan mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping, dalam lawatan ke Vietnam minggu lalu, menggesa Hanoi agar bekerjasama dalam mempertahankan perdagangan bebas.

Beijing turut menyuarakan bantahan keras terhadap mana-mana negara yang menjalin perjanjian perdagangan dengan AS yang dilihat menjejaskan kepentingannya, serta memberi amaran bahawa China akan mengambil tindakan balas.

China merupakan pembekal terbesar barangan kepada Vietnam tahun lalu, dengan nilai import mencecah AS$161.9 bilion.-AFP

 

ROSLINA BINTI DIN