PAHALGAM, 24 April- Perdana Menteri India, Narendra Modi, berikrar untuk membalas dendam terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam serangan paling buruk ke atas orang awam di lokasi pelancongan terkenal, Kashmir, dalam tempoh 25 tahun.
Menerusi ucapannya, Modi berkata India akan mengenal pasti, mengesan dan menghukum setiap pelaku dan penyokong mereka.
India mendakwa Pakistan terlibat dalam menyokong serangan pengganas rentas sempadan, satu tuduhan yang mencetuskan ketegangan diplomatik paling serius antara dua negara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, Pakistan menafikan sebarang penglibatan terhadap insiden itu.
"Siapa yang melancarkan serangan ini, dan siapa yang merancangnya, akan dibalas dengan 'harga' yang mereka tidak dapat bayangkan," tegas Modi dalam ucapan di negeri Bihar semasa melancarkan projek pembangunan.
“Tanah sekecil mana pun yang menjadi tempat pengganas ini bersembunyi, akan dihancurkan. Semangat 1.4 bilion rakyat India akan mematahkan tulang belakang keganasan ini", katanya.
Ucapan tersebut dimulakan dengan dua minit bertafakur bagi memperingati mangsa.
Serangan di Pahalgam berlaku ketika pelancong menikmati pemandangan pergunungan yang damai, sebelum diserang hendap oleh kumpulan bersenjata dan melepaskan tembakan rambang.
Insiden itu turut memberi kesan besar terhadap industri pelancongan utama Kashmir dan mencetuskan kebimbangan akan tercetusnya keganasan atau tindakan balas berskala besar.
Sementara itu, pihak keselamatan India melancarkan operasi besar-besaran memburu suspek, dengan puluhan individu telah ditahan. Polis turut menawarkan ganjaran sebanyak dua juta rupee (sekitar RM110,000) kepada individu yang memberi maklumat mengenai suspek.
Seorang askar turut terkorban dalam pertempuran di kawasan Basantgarh, Kashmir, pada hari Khamis, menurut kenyataan tentera India.
Sekurang-kurangnya 26 orang maut apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pelancong di kawasan peranginan Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, pada 23 April lalu.-AFP