NEW YORK, 24 April– Bekalan makanan di Gaza berada pada tahap amat kritikal dengan kes kekurangan zat makanan meningkat secara mendadak, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), menurut PBB, majoriti penduduk turut terdedah kepada risiko kesihatan serius akibat persekitaran yang tercemar.
Jurucakap PBB, Stéphane Dujarric berkata operasi bantuan kemanusiaan di Gaza hanya boleh dijalankan mengikut prinsip kemanusiaan, berkecuali dan kebebasan.
Beliau turut menyifatkan keadaan hidup di Gaza sebagai amat membimbangkan, dengan 75 peratus penduduk terdedah kepada kumbahan dan sisa terbuka yang membawa risiko kesihatan serius.
Dujarric menggesa negara anggota berpengaruh supaya mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang halangan.
Dujarric berkata demikian ketika mengulas laporan Menteri Pertahanan Israel, Yisrael Katz yang mencadangkan dalam mesyuarat kabinet keselamatan baru-baru ini agar bantuan di Gaza diagihkan oleh angkatan tentera atau syarikat dari Amerika Syarikat.