fb fb fb fb fb

China terus komited terhadap matlamat iklim global

Xi Jinping/ Foto REUTERS

BEIJING, 24 April- Presiden China, Xi Jinping, menegaskan komitmen berterusan negaranya terhadap matlamat iklim global dan pembangunan hijau ketika berucap secara maya sempena Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Iklim dan Peralihan Adil, pada Rabu.

Xi berkata, China kekal sebagai penyokong utama dan penyumbang aktif kepada pembangunan hijau di peringkat global.

Ini termasuk membina sistem tenaga boleh baharu terbesar dan terpantas di dunia, menubuhkan rantaian industri tenaga baharu paling lengkap, serta menyumbang satu per empat kawasan hijau baharu global sejak pengumuman sasaran dwi karbon lima tahun lalu.

"China komited bekerjasama dengan semua pihak berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama tetapi berbeza, bagi memastikan tindakan kolektif dan individu yang menyeluruh dalam membina dunia yang bersih, lestari dan indah.

"China tidak akan berganjak dalam menangani perubahan iklim dalam apa jua keadaan, tidak akan mengurangkan sokongan terhadap kerjasama antarabangsa, dan akan terus memperkukuh usaha membina komuniti global yang berkongsi nasib dan kesejahteraan bersama," katanya.

Mesyuarat maya berkenaan turut menghimpunkan 17 pemimpin negara utama termasuk negara-negara terdedah kepada impak perubahan iklim, dengan penyertaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva selaku penganjur bersama.

Menurut pegawai kanan PBB, mesyuarat itu merupakan antara langkah penting dalam mengekalkan momentum politik menjelang Sidang Kemuncak COP30 di Brazil hujung tahun ini, bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Perjanjian Paris dan tarikh akhir penyerahan pelan iklim baharu oleh negara anggota.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM