fb fb fb fb fb

Aston Villa umum rancangan tingkatkan kapasiti stadium, lebih 50,000 tempat duduk

Foto REUTERS

LONDON, 24 April- Aston Villa mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kapasiti stadium mereka kepada lebih 50,000 tempat duduk dalam tempoh dua tahun, lapor PA Media/dpa.

Kelab itu merancang untuk menambah bilangan tempat duduk di Bahagian Utara Stadium Villa Park sebelum Kejohanan Euro 2028 disebabkan stadium itu bakal menjadi satu daripada gelanggang tuan rumah.

Villa berkata kerja naik taraf stadium yang kini boleh memuatkan 42,640 penonton itu akan dijalankan tanpa menjejaskan jumlah tempat duduk sepanjang musim berlangsung.

Pengerusi Eksekutif Kelab Nassef Sawiris berkata: “Projek ini merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kelab untuk menjadi sebuah pusat sukan dan hiburan bertaraf dunia.

“Bahagian Utara yang lebih besar dan moden bukan sahaja akan membolehkan lebih ramai penyokong Villa menyaksikan perlawanan secara langsung dan meningkatkan pengalaman hari perlawanan, malah turut memperkukuh keupayaan kelab untuk melabur dan bersaing dalam jangka panjang.”

Villa, di bawah bimbingan Unai Emery, kini berada di kedudukan ketujuh Liga Perdana Inggeris dengan baki empat perlawanan. Sebelum ini, kelab itu hampir melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara namun tewas dengan agregat 5-4 kepada Paris Saint-Germain.- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

ROSLINA BINTI DIN