(Seorang lelaki berjalan melepasi skrin televisyen yang menunjukkan siaran berita ujian
peluru berpandu Korea Utara, di stesen kereta api di Seoul pada 29 September 2022/AFP)
SEOUL, 10 Oktober- Ujian peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini adalah latihan "nuklear taktikal" yang diawasi sendiri oleh pemimpinnya Kim Jong Un, lapor media kerajaan sambil menambah pelancaran itu adalah tindak balas kepada latihan ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat di rantau itu.
Kim telah lama mahu membangunkan nuklear taktikal, senjata yang lebih kecil dan ringan yang direka untuk kegunaan medan perang dan menjadikannya sebagai keutamaan dalam kongres parti utama pada Januari 2021.
Negara itu menyemak semula undang-undang nuklearnya bulan lalu, membayangkan pelbagai senario ia boleh menggunakan nuklearnya, dengan Kim mengisytiharkan Korea Utara sebagai kuasa nuklear "tidak boleh dipulihkan".
Sejak itu, Seoul, Tokyo dan Washington telah meningkatkan latihan gabungan tentera laut, termasuk mengerahkan kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear USS Ronald Reagan ke kawasan itu sebanyak dua kali, menimbulkan kemarahan Pyongyang yang melihat latihan bersama itu sebagai latihan untuk pencerobohan.
Sebagai tindak balas, Korea Utara "memutuskan untuk mengadakan latihan ketenteraan bawah simulasi perang sebenar", lapor media rasmi KCNA.
(Kim Jong Un menyelia latihan ketenteraan di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara
, dalam gambar tidak bertarikh/REUTERS)
Unit tentera Korea Utara yang terlibat dalam "pengoperasian nuklear taktikal mengadakan latihan ketenteraan dari 25 September hingga 9 Oktober untuk memeriksa dan menilai keupayaan sistem pertahanan dan serangan balas nuklear negara itu," kata laporan itu.
"Kim Jong Un, setiausaha agung Parti Pekerja Korea dan pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusatnya, membimbing latihan ketenteraan di tempat kejadian," tambahnya.
"Unit operasi nuklear taktikal" telah menjalankan tujuh latihan pelancaran yang telah membolehkan pasukan nuklear Korea Utara mempamerkan "keberkesanan militan dan keupayaan perang sebenar mereka", tambah KCNA.-AFP