fb fb fb fb fb

Gaza terus dibedil di tengah rundingan gencatan senjata

Foto AFP

GAZA, 6 Julai - Penduduk Gaza terus hidup dalam ketakutan apabila serangan udara oleh tentera Israel semakin memuncak, meskipun rundingan gencatan senjata antara Hamas dan Israel masih berlangsung dengan pengantaraan Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir.

Menurut sumber perubatan pada Sabtu, sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin terbunuh dan 300 lagi cedera sejak awal pagi akibat serangan yang berterusan.

Adegan mengerikan dilaporkan berlaku di sebuah sekolah yang dijadikan pusat perlindungan di kejiranan Sabra, apabila saksi, Hassan Al-Samri, dilihat menggeledah runtuhan untuk mencari barang miliknya.

“Pemandangan ini amat mengerikan. Kanak-kanak hancur berkecai tanpa sebab. Kami ini rakyat yang telah berpindah, ikut arahan dan berlindung di tempat yang dikatakan selamat. Kini, tempat perlindungan diserang lagi dan lagi,” katanya.

Seorang lagi mangsa terselamat, Akram Salmi, meluahkan rasa terdesak yang dialami: “Tiada langsung rasa selamat. Walaupun saya berdiri dekat tangga atau di sini selama 10 minit, saya tidak rasa selamat. Setiap hari saya berkata, ‘Ajal kita hampir. Kita akan mati satu demi satu. Hanya tunggu masa.’ Beginilah cara kami berfikir sekarang.”

Pada akhir Mei lalu, satu serangan udara Israel terhadap sekolah yang dijadikan pusat perlindungan telah mengorbankan enam ahli satu keluarga.

Serangan itu hanyalah satu daripada siri serangan terhadap pusat perlindungan di Bandar Gaza sejak beberapa minggu lalu.

Pada Khamis, serangan mengejut oleh tentera Israel ke atas sebuah lagi sekolah yang dijadikan tempat perlindungan di Bandar Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 15 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selain mencederakan beberapa yang lain.

Satu cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang disokong oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar kini dibincangkan, dengan harapan untuk menghentikan keganasan dan membuka jalan ke arah perdamaian yang berkekalan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN