XIAPU, 6 Julai - Ketika Wilayah Fujian di timur China menaik taraf tahap respons kecemasan bagi menghadapi Taufan Danas, Daerah Xiapu, salah satu pusat perikanan utama wilayah itu mula melaksanakan langkah berjaga-jaga dengan memanggil semua bot nelayan pulang ke pelabuhan untuk berlindung, menggantung semua laluan penumpang maritim dan memperkukuh struktur sangkar akuakultur.
Taufan Danas, yang merupakan taufan keempat tahun ini, terbentuk pada Sabtu di perairan timur laut Laut China Selatan dan bertukar daripada ribut tropika kuat kepada taufan pada pagi Ahad.
Fujian kini telah menaikkan tahap respons kecemasan taufan kepada Tahap III.
China menggunakan sistem empat tahap untuk bencana alam, dengan Tahap I paling tinggi dan Tahap IV paling rendah.
Di sebuah zon akuakultur ikan croaker kuning di daerah itu, seorang nelayan yang memiliki kira-kira 3,000 sangkar yang menempatkan lebih 70 juta ekor ikan berkata beliau segera mengambil langkah pengukuhan apabila menerima amaran mengenai taufan yang menghampiri secara tiba-tiba.
Semua nelayan dan bot nelayan di daerah tersebut diarahkan kembali ke pelabuhan sebelum pukul 10:00 pagi Ahad.
Setakat ini, kesemua 815 bot nelayan telah berjaya pulang dan berlindung di jeti dengan selamat.
“Kami akan menjalankan pemeriksaan maritim pada pukul 10:00. Jika terdapat individu yang ingkar arahan kerajaan untuk mendarat, kami akan mengarahkan mereka supaya berbuat demikian,” kata Li Min, ketua stesen laut dan perikanan tempatan.
Selain itu, dengan ketibaan kapal penumpang terakhir dari dan ke pulau yang selamat berlabuh di jeti pada petang Sabtu, semua laluan penumpang maritim di daerah itu telah digantung sepenuhnya.
“Kami menambah lapan perjalanan dan sedang bersiap untuk membawa kumpulan penumpang terakhir ke darat,” kata Ye Huadong, kapten sebuah kapal penumpang.-REUTERS