BEIJING, 6 Julai – Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan China mengumumkan pelaksanaan langkah sekatan terhadap alat perubatan yang diimport dari Kesatuan Eropah (EU) dalam aktiviti perolehan kerajaan.
Ini susulan langkah diskriminatif yang dikenakan EU terhadap syarikat dan produk China pada Jun lalu.
Menurut notis yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, langkah tersebut berkuat kuasa serta-merta mulai Ahad, khususnya melibatkan projek perolehan kerajaan dengan peruntukan melebihi 45 juta yuan (kira-kira AS$6.28 juta) bagi alat perubatan.
Dalam kes keperluan terhadap produk import yang telah melalui prosedur perundangan, syarikat dari EU (tidak termasuk syarikat pelaburan EU yang beroperasi di China) akan dikecualikan daripada menyertai proses perolehan tersebut.
Selain itu, bagi syarikat bukan dari EU yang menyertai perolehan berkenaan, jumlah alat perubatan yang diimport dari EU tidak boleh melebihi 50 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak.
Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan bagi projek perolehan yang hanya boleh dipenuhi melalui alat perubatan dari EU.
Bagi projek yang telah mengumumkan keputusan bidaan atau penganugerahan kontrak sebelum tarikh kuat kuasa notis tersebut, kontrak perolehan kerajaan masih boleh ditandatangani seperti biasa dan langkah sekatan tidak akan terpakai.
Dalam kenyataan berasingan pada Ahad, jurucakap Kementerian Perdagangan China menyatakan kesediaan Beijing untuk menyelesaikan perbezaan dengan EU melalui perundingan.
Jurucakap itu menjelaskan pada 20 Jun 2025, Suruhanjaya Eropah telah melaksanakan sekatan terhadap penyertaan syarikat dan produk China dalam perolehan awam EU melibatkan alat perubatan — satu tindakan yang terus mengekang akses syarikat China ke pasaran awam Eropah.
“China telah berkali-kali menyuarakan kesediaan untuk menyelesaikan isu ini secara baik melalui dialog dua hala, rundingan dan pengaturan perolehan antara kerajaan,” kata jurucakap itu.
“Namun amat dikesali, EU mengabaikan niat baik dan keikhlasan China, sebaliknya terus mengenakan sekatan dan membina halangan perlindungan baharu. Oleh itu, China tiada pilihan selain mengambil tindakan balas yang setara.”
Langkah yang diambil itu bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan sah syarikat China serta memastikan persekitaran persaingan yang adil.
Sekatan itu hanya melibatkan produk alat perubatan yang diimport dari EU dan tidak menjejaskan produk yang dikeluarkan di China oleh syarikat pelaburan EU.-REUTERS