fb fb fb fb fb

Sidang Kemuncak BRICS ke-17 dianggap bersejarah dalam situasi global bergolak

Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 6 Julai – Sidang Kemuncak BRICS ke-17 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, disifatkan sebagai peristiwa bersejarah ketika para pemimpin membincangkan isu global utama, khususnya dalam bidang perdagangan dan kerjasama strategik, di tengah ketegangan geopolitik dunia.

Sidang kemuncak yang berlangsung dari 6 hingga 7 Julai itu menghimpunkan lima anggota pengasas iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan bersama enam ahli baharu iaitu Mesir, Ethiopia, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Arab Saudi.

Sepuluh negara rakan turut hadir sebagai pemerhati, termasuk Malaysia.

Pedro Vormittag, Presiden Jawatankuasa BRICS baharu di Rio berkata pengembangan BRICS berlaku pada masa yang sangat signifikan, ketika tekanan perdagangan antarabangsa semakin meningkat.

“Agendanya sangat luas dan jawapan yang diperlukan amat mendesak. Tidak kira apa hasilnya, ini akan menjadi sidang kemuncak yang bersejarah,” katanya kepada CGTN.

Sidang kali ini juga berlangsung di bawah tema “Memperkukuh Kerjasama Selatan Global bagi Tadbir Urus yang Lebih Inklusif dan Mampan”.

Vormittag menyuarakan harapan agar acara itu turut meningkatkan profil Rio de Janeiro sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan, terutamanya kepada pelancong, pelajar dan ahli perniagaan dari China.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN