fb fb fb fb fb

Banjir Texas: 21 kanak-kanak, antara 59 maut

Foto AFP

TEXAS, 7 Julai - Angka kematian dalam kejadian banjir yang melanda negeri Texas, Amerika Syarikat meningkat kepada 59 orang, termasuk 21 kanak-kanak.

Perkara itu dimaklumkan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang, ketika usaha mencari beberapa kanak-kanak perempuan yang hilang dari sebuah kem musim panas memasuki hari ketiga.

Syerif Daerah Kerr di kawasan Texas Hill Country, Larry Leitha memaklumkam, 11 kanak-kanak perempuan dan seorang kaunselor masih hilang dari sebuah kem berhampiran Sungai Guadalupe yang melimpah ekoran hujan lebat.

Menurut Leitha, terdapat 18 individu dewasa dan empat kanak-kanak yang masih belum dikenal pasti.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada 22 individu itu termasuk dalam angka korban seramai 59 orang.

Sehingga Sabtu (5 Julai), lebih 850 orang diselamatkan, termasuk beberapa individu yang berpaut pada pokok, selepas ribut secara tiba-tiba mencurahkan sehingga 38 sentimeter hujan di kawasan yang terletak kira-kira 140 kilometer dari barat laut San Antonio. - REUTERS

MASNIZA AWANG KECHIK