RIO DE JANEIRO, 7 Julai - Para pemimpin BRICS menyeru agar rundingan segera mencapai gencatan senjata tanpa syarat bagi menamatkan perang di Gaza yang telah berlarutan selama 22 bulan.
“Kami menyeru semua pihak agar terlibat secara ikhlas dalam rundingan selanjutnya untuk mencapai gencatan senjata serta-merta, kekal dan tanpa syarat,” kata blok 11 negara anggota itu menerusi kenyataan pada sidang kemuncak di sini.
BRICS juga menyeru agar tentera Israel berundur sepenuhnya dari Gaza dan semua kawasan lain di wilayah Palestin yang diduduki.
Kenyataan blok itu dikeluarkan ketika rundingan damai antara Israel dengan Hamas disambung semula di Doha dan tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk menamatkan perang yang bermula pada 7 Oktober 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan tentera Zionis telah mengorbankan sekurang-kurangnya 57,418 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam - angka yang dianggap Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai boleh dipercayai.
Sidang BRICS itu turut dihadiri oleh Iran, musuh ketat Israel, serta negara-negara seperti Rusia yang mempunyai hubungan rapat dengannya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijadual mengadakan lawatan ke White House pada Isnin bagi mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang sedang berusaha menamatkan perang dan telah menyatakan harapan agar perjanjian gencatan senjata dapat dicapai dalam masa terdekat. - AFP