RIO DE JANEIRO, 7 Julai - Tarif import yang sewenang-wenangnya dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berisiko menjejaskan ekonomi global.
Kebimbangan itu disuarakan para pemimpin BRICS yang bermesyuarat di sini pada Ahad.
“Kami menyuarakan kebimbangan serius berhubung kenaikan tarif secara sebelah pihak dan langkah-langkah bukan tarif yang mengganggu perdagangan dan tidak selaras dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," kata blok itu dalam satu kenyataan sidang kemuncak.
Blok yang terdiri daripada 11 negara membangun termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan itu mewakili kira-kira separuh daripada populasi dunia dan 40 peratus daripada keluaran ekonomi global.
Walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan anggota, blok ekonomi itu telah mencapai kata sepakat berhubung pendekatan pemimpin Amerika yang tidak menentu itu, serta perang tarif yang sering berubah-ubah.
BRICS yang menyifatkan tarif tersebut sebagai tidak sah, memberi amaran bahawa ia boleh terus mengurangkan perdagangan global, mengganggu rantaian bekalan antarabangsa, serta mewujudkan ketidaktentuan dalam aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
April lalu, Trump mengancam sekutunya dan pihak lawan dengan beberapa 'duti hukuman', namun secara tiba-tiba menangguhkan pelaksanaanya selepas kejatuhan pasaran yang ketara.
Trump telah memberi amaran bahawa beliau akan kembali mengenakan tarif secara unilateral terhadap rakan dagang, kecuali mereka mencapai "perjanjian" sebelum 1 Ogos. - AFP