fb fb fb fb fb

Iran raih sokongan BRICS

Imej satelit Maxar Technologies menunjukkan kesan serangan tentera AS terhadap loji nuklear Fordow di Iran. - Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 7 Julai - Iran meraih sokongan negara-negara BRICS apabila blok itu mengutuk serangan udara terkini oleh Israel dan Amerika Syarikat yang menyasarkan angkatan tentera, nuklear dan beberapa sasaran lain.

“Kami mengutuk serangan ketenteraan terhadap Republik Islam Iran sejak 13 Jun 2025,” kata para pemimpin BRICS dalam kenyataan sidang kemuncak, tanpa menamakan secara langsung Amerika Syarikat atau Israel.

“Kami juga menyatakan kebimbangan serius terhadap serangan yang disengajakan ke atas infrastruktur awam dan kemudahan nuklear yang aman,” kata blok itu lagi.

Kumpulan 11 negara anggota itu menyifatkan serangan tersebut, sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai satu kemenangan diplomatik bagi Tehran, yang sebelum ini hanya menerima sedikit sokongan di peringkat serantau atau antarabangsa selepas kempen pengeboman selama 12 hari oleh tentera Israel yang memuncak dengan serangan udara Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran di Natanz, Fordow dan Isfahan.

Diplomat BRICS pada awalnya berbeza pendapat mengenai sejauh mana mereka harus mengecam pengeboman Israel terhadap Iran dan tindakannya di Gaza, namun akhirnya memperkukuh kenyataan mereka atas permintaan Tehran. - AFP

MASNIZA AWANG KECHIK